Sunday, November 15, 2009

Majlis Pertunangan Hajar


Tahniah.........
Moga2 dengan selesainya majlis pertunangan ini
kalian berdua Hajar dan ranjer akan meneruskan perjalanan menjejaki pelamin seterusnya di nobatkan sebagai pasangan suami isteri
amin.....












Tazkirah........



TAKRIF PERTUNANGAN
Ulama dari mazhab Maliki (Hatab):
Pertunangan adalah satu ungkapan untuk menyeru kepada pernikahan dan apa-apa yang berlaku dari perbualan.

Ulama dari mazhab Shafie (Umairah):
Pertunangan adalah menyentuh (mengemukakan) pernikahan daripada orang yang diambil kira dengannya.Daripada takrif pertunangan di atas dapatlah kita ketahui bahawa pertunangan ini adalah semata-mata satu perjanjian di antara dua pihak (pihak lelaki dan pihak perempuan) untuk melangsungkan perkahwinan. Pertunangan bukanlah satu akad seperti pernikahan dan memutuskan pertunangan dengan sebab-sebab tertentu bukanlah suatu kesalahan.




PERTUNANGAN DI SISI SYARAK
Terbahagi kepada lima cara:
- Lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang kepada seorang perempuan secara langsung.
- Lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang kepada wali perempuan.
- Menggunakan pihak ketiga untuk meminang.
- Wali menawarkan anak perempuannya kepada seorang lelaki soleh.
- Perempuan menawarkan dirinya sendiri kepada seorang lelaki soleh.Sekiranya kedua-dua pihak telah bersetuju dan menerima (menggunakan salah satu cara di atas) maka ini adalah sudah dikira bertunang di sisi syarak.

PERTUNANGAN DI SISI ADAT
Kebiasaannya pihak lelaki akan memberikan barang-barang hantaran ke rumah pihak perempuan pada majlis pertunangan yang telah ditetapkan. Kemudian perempuan akan disarungkan cincin di jari manisnya sebagai tanda sudah bertunang. Maka pihak perempuan akan menetapkan dan membincangkan hantaran untuk perkahwinan berdasarkan status seseorang perempuan itu. Dan diakhiri dengan bacaan doa dan sedikit jamuan ringan. Majlis pertunangan ini diadakan selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk bertunang selepas adat merisik.Pemberian cincin semasa pertunangan adalah suatu adat yang diamalkan di Malaysia (mungkin diambil dari warisan orang bukan Islam) dan ia bukanlah satu syariat yang telah ditetapkan oleh Islam. Namun ia tidaklah menjadi satu kesalahan sekiranya pemberian cincin itu diberikan sekadar tanda pertunangan selagimana tidak menyalahi syariat. Perlu diketahui bahawa menganggap perbuatan menanggalkan cincin sebagai tanda pertunangan diputuskan maka ia adalah bercanggah dengan Islam.














HEBAHAN PERTUNANGAN
Tidaklah digalakkan menghebahkan pertunangan sepertimana perkahwinan. Pada pendapat saya bahawa hebahan pertunangan sekadar perlu adalah terletak di atas budi bicara keluarga masing-masing. Adapun hebahan tentang perkahwinan adalah digalakkan (sunat) oleh Islam dan menghadirinya adalah wajib.

WAKTU PERTUNANGAN
Berkaitan dengan pertunangan yang lama - pada pandangan saya ia terletak di atas diri kedua-dua pihak yang bertunang untuk menentukannya. Sekirannya kedua-dua (peminang lelaki dan perempuan) mampu melaluinya dan bersedia dalam tempoh masa pertunangan yang panjang maka tidaklah mengapa. Namun pertunangan yang panjang mungkin membawa sedikit masalah dari pengalaman beberapa orang kenalan saya.





24/10/2009....10am

Monday, September 28, 2009

Perihal Solat Jama’ & Qasar

Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya sering balik kampung dan berjalan jauh. Saya mengetahui ketika musafir kita boleh menjamakkan solat, tetapi lantaran kurangnya ilmu tentang hal itu membuatkan saya tidak yakin untuk melaksanakan solat tersebut. Saya hanya mengqada solat setelah sampai ke destinasi. Banyak perkara yang mengelirukan saya. Misalnya kita tidak boleh menjamakkan solat sekiranya akan mendiami destinasi tersebut lebih dari tiga hari. Kita juga tidak boleh menjamakkan solat sekiranya destinasi tersebut adalah kampung halaman kita.
Namun ada yang mengatakan kita boleh menjamakkan solat kerana ia bukan bergantung pada destinasi yang akan kita pergi, tetapi ia bergantung pada tempat di mana kita menjamakkan solat. Contohnya, di pertengahan jalan, kita terhenti, kita tidak berada di situ lebih dari tiga hari dan tempat itu bukan kampung halaman kita.

Oleh itu saya amat berharap ustaz dapat menerangkan tentang solat jamak dan qasar, syarat-syaratnya dan cara mendirikannya, agar saya dapat mempraktikkannya kelak.

Jawapan
wa’alaikumussalam
Saudari sepatutnya menjama’kan sahaja solat, qadha solat adalah sesuatu yang amat kurang baik untuk diamalkan. Qadha solat juga hanya wujud apabila seseorang tertinggal kerana uzur seperti tertidur dan yang seumpamanya. Sebarang tindakan meninggalkan solat secara sengaja adalah mengundang dosa walaupun qadha dilakukan.
Berikut pula syarat untuk men”qasar”kan solat menurut mazhab Syafie
(Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/359-365) :-
i. Hanya tertakluk kepada keadaan bermusafir dengan jarak melebihi 85 KM.
ii. Hanya boleh di qasar apabila telah melepasi sempadan kampung atau taman perumahannya.
iii. Mengetahui destinasinya dan ia tidak bertujuan maksiat. iv. Tidak berimamkan orang yang menunaikan solat penuh (4 rakaat).
v. Berniat qasar semasa takbiratul ihram solatnya.
vi. Mestilah solat qasar itu dilakukan dalam keadaan bermusafir dari awal hingga akhirnya.
vii. Jika ia berniat (semasa bertolak) untuk duduk di sesuatu destinasi lebih dari tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan pulang), maka ia tidak berhak untuk melakukan qasar solat, sejurus sampainya ia ke destinasi itu. Jika ia tidak berniat lebih dari tiga hari atau langsung tidak punyai niat berapa hari, kiraan 3 hari adalah tidak termasuk hari sampai dan hari pulang. Dalam tempoh itu, ia boleh menqasarkannya jika tiada niat 3 hari.
Solat jama’ pula semua syaratnya sama dengan solat qasar.

Berikut maklumat beberapa maklumat tentang jama’ solat :-
i. Jama’ tidak hanya tertakluk kepada keadaan musafir, terdapat keadaan sukar yang lain seperti hujan terlampau lebat, salji, keadaan merbahaya di luar, sakit (mazhab Syafie tidak membenarkan jamak kerana sakit tetapi harus menurut mazhab Maliki dan Hanbali, Rujuk Ikhtilaf Aimmah al-Ulama, Ibn Hubayrah, 1/150), semasa Haji, itulah beberapa contoh keadaan yang di benarkan untuk di jama’ kan solat. (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1375)
ii. Solat jama’ boleh dilakukan dalam dua bentuk :-

Pertama : Jamak Taqdim
Ertinya : Di gabungkan dua solat dalam waktu solat yang pertama seperti zohor dan asar di dalam waktu zohor, atau maghrib dan isyak di dalam waktu maghrib. Ia berdasarkan hadith shohih dari Muadz Bin Jabal riwayat Ahmad, Tirmidzi Ibn Hibban dan lain-lain.
Syaratnya :
1) Solat dilakukan menurut tertibnya atau yang awal terlebih dahulu (zohor dahulu dan asar di kemudiannya, maghrib dahulu dan isyak di kemudiankan), jika tidak maka batal solatnya menurut mazhab Syafie. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/371 )
2) Berniat jamak ketika solat pertama dilakukan, dan harus juga berniat jamak walaupun solat telah bermula. Lafaz niatnya tidaklah perlu di baca dalam bahasa arab, dalam bahasa melayu juga di benarkan. Tetapi perlu ingat lafaz niat bukannya niat tetapi hanya sebagai pembantu agar niat boleh hadir dengan lebih mudah. Lazfa niat ini adalah saranan mazhab Syafie sahaja, manakala Rasulullah SAW sendiri tidak pernah melakukannya, justeru jika mampu menghadirkan niat di dalam hati tanpa berlafaz, itu yang terbaik.
3) Mestilah berturut-turut (Muwalat); Pastikan jangan terdapat pemisahan yang agak panjang atau urusan lain di tengah-tengah kedua-dua solat.

Kedua : Jamak Takhir
Ertinya : Menggabungkan dua solat dalam satu waktu, iaitu waktu solat yang terkemudian. (seperti zohor dan asar di tunaikan dalam waktu asar).
Ia dibenarkan syarak berdasarkan hadith yang shohih dari Anas dan Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. (Rujuk Naylul Awtar, 3/212)
Syarat-syaratnya :
1) Niat Takhir sebelum habisnya waktu solat pertama (iaitu niat dilewatkan solat pertama untuk digabungkan dalam waktu asar atau isyak)
2) Berterusan dalam keadaan musafir sehingga tamat solat yang kedua.
Soalan saudari tentang tidak boleh jamak sekiranya destinasi perjalanan itu adalah kampung halaman sendiri adalah seperti berikut (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1362 cet 4, dar Al-Fikr):-
a- Seseorang yang kerja di KL, manakala kampung kelahirannya di Batu Pahat, Johor atau mana-mana jarak yang melebihi 85 KM. Apabila ia sampai ke kampong asalnya ( ibu bapanya juga di sana) ia tidak boleh lagi menqasarkan solat kerana ia tidak dikira bermusafir lagi apabila telah sampai ke kampung walaupun berniat duduk kurang dari 3 hari.
b- Seseorang yang kampung kelahirannya di Perak, dan ia kerja di KL dan kampung isterinya di Johor. Apabila ia balik ke kampung isterinya, juga tidak boleh qasar apabila telah sampai. Bagaimanapun terdapat pandangan mengatakan si suami berhak menjamak dan qasar kerana ia bukan tempat tinggalnya. Bagi saya, kelaur dari yang khilaf adalah lebih baik dalam hal ini.
c- Sekiranya ia dalam perjalanan balik dari kampung Johor atau Peraknya ke KL, ia juga tidak boleh meng”qasar”kan solat apabila telah sampai ke rumahnya di KL
Adapun kenyataan saudari “tidak berada lebih tiga hari di sesuatu tempat perhentian” adalah syarat untuk qasar sahaja. Adapun solat jamak, maka ia masih di bolehkan jika terdapat sebab-sebab yang di sebutkan di atas.

Wednesday, September 16, 2009

Ultrasound

Ultrasound Kandungan



Apakah yang dimaksudkan dengan imbasan ultrasound?


Imbasan ultrasound ialah sejenis alat diagnostik masa kini yang sangat berguna untuk memantau pergerakan bayi melalui imej dinamik yang digambarkan pada skrin monitor. Gelombang bunyi berfrekuensi sangat tinggi antara 3.5-7.0 megahertz (iaitu 3.5 ke 7.0 juta pusingan per saat) lazimnya digunakan. Gelombang ini dipancarkan dari transduser yang diletakkan di abdomen wanita dan digerakkan untuk melihat (menyuluh seperti lampu picit) kandungan rahim. Sinaran ultrasound yang berulang-ulang akan mengimbas bayi dan dipantulkan semula ke transduser yang sama. Maklumat yang diperolehi dari pelbagai pantulan ini akan dibentuk semula menjadi gambar di skrin monitor. Pergerakan seperti denyutan jantung bayi boleh dinilai dan pengukuran boleh dibuat ke tahap yang sangat tepat berdasarkan imej yang ditunjukkan di skrin. Pengukuran sebegini menjadi asas dalam menentukan usia kandungan, saiz dan tumbesaran bayi yang dikandung.


Perlukah saya menjalani imbasan ultrasound untuk kehamilan?


Imbasan ultrasound kini dianggap sebagai kaedah yang selamat, 'non invasive', tepat dan menguntungkan. Ia telah berkembang menjadi satu alat obstetrik yang sangat diperlukan dan berperanan penting dalam penjagaan setiap wanita hamil.



Bolehkan imbasan ini membantu mengenal pasti sebarang masalah
berkaitan kehamilan dan bayi?


Ya, imbasan ultrasound dapat membantu mengenal pasti sebarang masalah berkaitan kehamilan dan juga bayi. Ia telah digunakan dengan meluas untuk:


1. Mendiagnos dan menilai kehamilan peringkat awal.

2. 'Karung' kehamilan boleh dilihat seawal 4½ minggu kehamilan dan karung yolka lebih kurang pada 5 minggu. Gema dan denyutan jantung janin biasanya dikesan dengan jelas pada 7 minggu kehamilan.


3. Diagnosis awal untuk keguguran yang tidak dikesan, kehamilan ektopi dan kehamilan molar.


4. Mengetahui usia kehamilan dan menilai saiz janin.

5. Kepada pesakit yang tidak pasti mengenai tarikh haidnya yang terakhir, pengukuran ini perlu dibuat secepat mungkin semasa kehamilan untuk menentukan tarikh kelahiran yang betul. Apabila kandungan telah membesar, mengukur parameter badan akan membolehkan anda menilai saiz dan tumbesaran janin. Seterusnya ia amat membantu dalam mendiagnos dan menangani tumbesaran janin yang terbantut.


6. Penentuan kedudukan uri.

7. Mendiagnos kehamilan kembar.

8. Pengesanan Oligohidramnios/Polihidramnios.

9. Pengesanan awal kecacatan janin.

10. Lain-lain:
-mengesahkan keguguran dan kematian janin dalam rahim.
-Mengesahkan keadaan janin.
-Menilai pergerakan janin, tonus dan pernafasan.
-Mendiagnos sebarang keabnormalan pelvis dan rahim semasa kehamilan seperti wujudnya Sista Ovari, Fibromiomata.




Bilakah masa yang paling sesuai untuk menjalani imbasan ultrasound?
Tiada ketetapan mengenai sekerap manakah anda perlu menjalani imbasan ultrasound semasa hamil. Imbasan diarahkan apabila terdapat sebarang keabnormalan yang disyaki dari segi klinikal. Jikalau tidak, imbasan biasanya dijalankan lebih kurang pada minggu ke tujuh kehamilan untuk mengesahkan kehamilan, kehamilan kembar, menyingkirkan kemungkinan kehamilan ektopi atau molar, mengesahkan denyutan jantung dan mengukur panjang kepalapunggung dari hujung ke hujung untuk menentukan tarikh kelahiran.

Imbasan kedua dilakukan pada 18-20 minggu untuk menentukan kecacatan kongenital dan menentusahkan tarikh kelahiran dan tumbesaran. Imbasan kali ketiga mungkin dilakukan sekitar 34 minggu untuk menilai saiz janin dan tumbesaran janin serta menentusahkan kedudukan plasenta.


Berapa kerapkah saya perlu menjalani imbasan ultrasound?
Bilangan imbasan yang dijalani berbeza-beza bergantung sama ada imbasan yang lalu telah mengesan sebarang keabnormalan yang memerlukan penilaian susulan. Sama ada kehamilan perlu diimbas secara rutin ketika usia kehamilan 18-20 minggu, masih merupakan satu kontroversi.

Adakah imbasan ultrasound selamat untuk bayi saya?
Imbasan ultrasound telah digunakan sejak 35 tahun yang lalu (bermula pada akhir 1950an) ke atas wanita hamil. Berbeza dengan X-ray, pengionan tidak berlaku dan kesan toksik terhadap embrio akibat radiasi adalah tidak relevan dalam hal ini. Penggunaan imbasan ultrasound berintensiti tinggi dikaitkan dengan kesan peronggaan dan pemanasan yang boleh terjadi akibat pengionan yang berpanjangan dalam eksperimen makmal. Bagaimanapun banyak kajian klinikal mengenai penggunaannya untuk diagnosis yang telah diterbitkan dalam jurnal perubatan tidak menunjukkan kesan merbahaya ke atas sel-sel haiwan ujikaji atau manusia. Penemuan dalam satu kajian yang melaporkan bayi yang terdedah kepada imbasan ultrasound mempunyai berat badan lahir yang rendah tidak menunjukkan kebolehberulangan. Namun persetujuan umum menyatakan imbasan ultrasound baik digunakan apabila perlu.

Sumber: Bahagian Pendidikan Kesihatan,

Kementerian Kesihatan Malaysia

--------------------------------------------------------------------------------

Ultrasound tidak jejas bayi

Mesin pengimbas diguna untuk mengetahui usia, struktur janin, keabnormalan kandungan dan penyakit yang dihidapi

IMBASAN menerusi 3D dan 4D

menjadi kemestian kepada setiap wanita hamil.

PERSOALAN yang sering bermain di benak wanita yang pertama kali hamil ialah adakah mesin pengimbas (ultrasound) selamat untuk kandungan? Adakah perkembangan bayi dalam kandungan boleh terencat disebabkan mesin pengimbas itu?

Jawapan paling mudah ialah mesin ultrasound yang sudah digunakan dalam dunia perubatan lebih 30 tahun lalu, tidak memberi sebarang kesan buruk kepada kandungan.

Begitupun, hampir semua pengamal perubatan perbidanan dan sakit puan bersetuju pendedahan bayi dalam kandungan kepada mesin pengimbas jangan terlalu kerap dan lama. Ia juga harus dibuat berdasarkan keperluan dan kepentingan.

Sejak diperkenalkan, teknologi ultrasound sentiasa dipertingkatkan. Jika dulu ultrasound membabitkan 2D, tetapi kebelakangan ini ultrasound 3D dan 4D cukup popular.

Mungkin kebanyakan orang berpendapat, ultrasound hanya digunakan untuk mengetahui jantina anak.

Sebenarnya fungsi ultrasound lebih daripada itu. Ia digunakan pada awal kehamilan untuk menentukan viabiliti (memastikan bayi berada dalam rahim dan pergerakan jantungnya normal).

Selain itu, ia juga berupaya mengesan berapa jumlah kandungan dan menentukan usia kandungan untuk menganggarkan tarikh kelahiran (estimated date of delivery).

Dalam inovasi terkini ultrasound pula, 3D dan 4D memberi kelebihan dalam mengesan keabnormalan bayi dalam kandungan.

IMEJ janin dalamkandungan pada usia 28 minggu menerusi imbasan 3D

Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Fetal Medicine & Gynaecology Centre, Dr S Raman, berkata ramai wanita di Malaysia hari ini berkahwin dan memulakan keluarga pada usia 30 tahun.

Justeru, pada usia ini, tahap kesuburan sebenarnya merosot dan risiko terhadap kelahiran bayi yang memiliki kesilapan kromosom (chromosomal disorder) agak tinggi.

Dengan imbasan yang dinamakan ‘nuchal scan’ (dilakukan antara 11 hingga 13 minggu kehamilan) ia digunakan untuk mengesan sindrom down.

Nuchal translucency (NT) menyukat ruang bawah kulit pada leher. Peningkatan dalam ukuran NT meningkatkan risiko sindrom down dan keabnormalan kardiak pada bayi. Dengan menggunakan parameter ini, 83 peratus sindrom down boleh dikesan menerusi imbasan.

Selain itu, menggunakan mesin ultrasound 3D juga, membolehkan kita melihat kelainan pada struktur bayi seperti bibir sumbing atau spina bifida (kecacatan pada tulang belakang).

Masalah bibir sumbing, polydactyl (memiliki lebih jari kaki), micrognathis (rahang besar sebelah), telinga yang tidak terbentuk dan lain-lain keabnormalan yang boleh dilihat dari segi luaran fetus lebih terbuka.

Begitupun, kualiti imej bergantung kepada keadaan bayi dan jumlah air ketuban di sekelilingnya.
Ada antara keabnormalan yang dilihat boleh diperbetulkan ketika bayi masih dalam kandungan. Bagi keabnormalan yang tidak boleh diperbetulkan, ibu bapa sekurang-kurangnya sudah bersedia secara mental.

Bagaimanapun, apakah imbasan menerusi 3D dan 4D menjadi kemestian kepada setiap wanita hamil atau sekadar keperluan ‘mewah’ yang sentiasa mencari jalan untuk menggoda pengguna?

Apatah lagi, kadar untuk imbasan 3D dan 4D dianggap mahal dan bukan boleh dipenuhi oleh setiap pengguna.

Kemunculan ultrasound dengan inovasi terkini bunyinya memang menguntungkan pihak pengguna. Bagi ibu bapa muda, melihat pergerakan, wajah dan mengikuti perkembangannya setiap bulan tentu saja mengujakan.


Bagi ibu bapa yang pernah dikurniakan anak bermasalah dari segi fizikal, tentu saja 3D membuat mereka ingin tahu adakah kelahiran kedua akan sama seperti sebelum itu.

Teknik imbasan 3D juga dikatakan mengeratkan lagi kasih sayang antara ibu dan anak sebelum dia dilahirkan.

Begitupun, tidak semua pakar perbidanan menganggap ultrasound 3D atau 4D ini ‘mandatori’ dan bakal mengambilalih imbasan konvensional 2D. Ada sesetengah diagnosis masih boleh dibuat menerusi 2D.

Bagi ibu yang tidak memiliki rekod kelahiran atau kesihatan yang abnormal, kebanyakan mereka yakin akan melahirkan bayi sihat tanpa perlu imbasan menerusi 3D. Justeru, pilihan terbaik di tangan anda.

Sumber: Berita Harian, 10/12/2006

Saturday, June 6, 2009

PANDUAN PEMAKANAN IBU MENGANDUNG

Semasa mengandung, anda bukan sahaja perlu meningkatkan jumlah pemakanan anda, tetapi yang lebih penting ialah apa yang anda makan. Kebiasaannya, wanita mengandung memerlukan penambahan 300 kalori/hari daripada biasa terutamanya semasa trimester terakhir di mana bayi membesar dengan pantas. Penambahan 300 kalori sehari tersebut penting diperolehi daripada makanan yang berkhasiat supaya ia boleh menyumbang kepada pembentukan dan perkembangan bayi.

Mengapa pemakanan sihat penting semasa mengandung

Pernahkah anda terfikir mengapa berat badan anda bertambah 10-15 kg (secara purata) semasa anda/isteri mengandung sedangkan berat bayi yang baru lahir hanya ¼ daripada itu? Walau pun ianya berbeza bagi setiap individu wanita yang mengandung, faktor-faktor di bawah menyumbang kepada pertambahan berat badan:

  • Berat bayi : 2.5 - 3 kg
  • Penyimpanan protein, lemak dan nutrien lain yang berlebihan : 2.75 - 3 kg
  • Penambahan darah : 1.5 – 2 kg
  • Penambahan cecair badan yang lain : 1.5 - 2kg
  • Pembesaran payudara : 0.75 – 1 kg
  • Pembesaran uterus (rahim) : 0.75 – 1 kg
  • Cecair amniotik (air ketuban) : 0.75 – 1 kg
  • Plasenta (uri) : 0.5 – 0.75 kg

Selain daripada penambahan berat bayi, faktor-faktor lain juga penting untuk memastikan fisiologi ibu berubah mengikut keperluan ibu mengandung. Corak penambahan berat semasa mengandung bagi individu juga berbeza. Jika anda mula mengandung semasa berat badan berlebihan, berat anda mungkin akan turun sedikit pada awal trimester manakala penambahan akan berlaku bagi ibu yang kurus atau mengandung anak kembar.

Makanan semasa mengandung

Semasa mengandung, apa sahaja yang anda makan dan minum merupakan sumber utama nutrien bagi bayi anda. Pemakanan anda berkait rapat dengan kesihatan bayi sehinggakan kebanyakan doktor menasihatkan supaya tidak mengambil sebarang risiko dengan makan makanan yang berkemungkinan memudaratkan bayi seperti alkohol.

Sama ada anda mengandung atau tidak, diet yang sihat merangkumi protein, karbohidrat, lemak, vitamin, mineral dan air yang mencukupi. Jika anda mengamalkan pemakanan mengikut sistem piramid makanan, ini menunjukkan yang anda berpotensi untuk menjadi individu yang sihat.

Penting bagi ibu mengandung untuk memvariasikan makanannya bagi memperoleh semua keperluan nutrisi ibu dan bayi. Makanan yang perlu dimakan semasa mengandung ialah:

  • Buah-buahan dan sayur-sayuran – target untuk makan 5 hidangan sehari termasuk sebagai snek, jus dan salad.
  • Makanan berkanji – roti, nasi, pasta, ubi kentang. Banyakkan bijirin penuh (wheat, whole grain)
  • Makanan berprotein tinggi – Daging, ayam, ikan, telur, kekacang (soya). Banyakkan makan ikan sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.
  • Makanan berkalsium tinggi – Susu, yoghurt, cheese.
  • Makanan berserat tinggi – Jadikan sayur, buah, bijirin dan kekacang sebagai makanan kegemaran kerana ia boleh mengelakkan sembelit.

Piramid makanan

Piramid Makanan

Minum banyak air dan elakkan makanan berlemak dan bergula tinggi seperti kek dan coklat kerana ia mengakibatkan pertambahan berat badan berlebihan dan seterusnya meniggikan risiko mendapat kencing manis (gestational diabetes mellitus)

Jika anda sukakan snek, ambil raisin, biskut bijirin penuh (Jacob’s atau IKO), salad buah, yoghurt atau sebarang makanan bernutrisi yang lain.

Perkara yang perlu diambil berat semasa membeli makanan

Makanan basah seperti ikan, ayam dan daging harus dibeli segar dan dijamin kebersihannya. Pastikan sayur-sayuran dan buah juga segar dan tidak mengandungi pestisid (kebiasaannya, sayur berlubang dimakan ulat atau serangga tiada pestisid). Bagi makanan yang dibungkus atau dalam tin, baca label makanan yang menunjukkan kandungan nutrisi dan kalori makanan tersebut. Terdapat juga label makanan yang memberikan cadangan hidangan yang bersesuaian bagi diet seharian. Apabila anda mengandung, cadangan hidangan bersesuaian juga sebenarnya bertambah seiring dengan keperluan untuk penambahan kalori. Periksa label makanan sebelum membelinya supaya makanan tersebut dapat dipastikan:

  • HALAL kerana makanan akan menjadi darah daging anda dan bayi
  • Berkhasiat untuk kesihatan anda dan bayi

Perhatikan juga tarikh lupus (expiry date) makanan dan pastikan pembungkus / tin makanan dalam keadaan sempurna (tiada kebocoran, tercemar, kemek). Walau pun nampak remeh, tetapi ia sebenarnya penting kerana makanan yang tercemar atau sudah lupus tarikhnya boleh menyebabkan anda keracunan makanan sekaligus boleh memudaratkan kesihatan bayi anda.

Bagaimana anda tahu yang pemakanan anda sihat semasa mengandung

Kunci utamanya ialah dengan mempelbagaikan pengambilan makanan dalam kumpulan yang berbeza-beza (seperti yang dicadangkan di atas) dengan jumlah yang mencukupi. Jangan risau jika anda mengalami alahan yang teruk dan tiada selera makan pada trimester pertama. Keadaan ini tidak akan memberikan impak yang besar kepada bayi anda kerana bayi akan mendapat nutrisi terdahulu daripada anda sebaik sahaja anda makan. Bagi yang mengalami alahan yang mencapai trimester kedua sehingga bersalin, pastikan anda tetap makan makanan berkhasiat- biar sedikit tetapi kerap. Walau pun penambahan berat badan ideal semasa mengandung yang dicadangkan ialah 10-15 kg (kebiasaannya 1.5 – 2.5 kg pada trimester pertama dan 0.25 - 0.5 kg / minggu pada trimester ke -2 dan 3), jangan hadkan diri anda. Sebaliknya, fokus pada pemakanan yang sihat dan seimbang untuk memastikan anda dan bayi sihat.

Friday, June 5, 2009

Kursus Fire Fighting


Taklimat oleh Pegawai Bomba teknik2 menyelamat dan memadan kebakaran

Wednesday, May 13, 2009

Tazkirah

Tafsirnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu ( wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
(Surah ar-Rûm:21)

Tips2 Menasihat Orang yg kita sayangi

1. Semasa anak atau isteri kita sedang tidur inilah waktu yang paling sesuai terutamanya diwaktu dua pertiga malam, kerana fikiran bawah sedarnya(sub conscius mind) adalah paling optimum ketika ini. Yang tidur hanyalah conscius mind (minda sedar).

2.Sentuhkan ibu jari anda ke langit-langit dan kemudian sentuhlah dengan halus ibu jari anda ke ubun - ubun orang yang ingin anda nasihati.

3. Semasa ibu jari diatas ubun-ubun selawatlah ke atas junjungan Nabi Muhamad dan bacalah surah al fatihah. Kemudian terus dengan berzikir didalam hati dan jangan putuskan zikir anda.

4. Angkat ibu jari anda,kalau boleh janganlah di putuskan zikir didalam hati dan bercakaplah dengan suara yang agak perlahan agar tidak sampai mengejutkanya. Beritahulah apa yang ingin anda beritahunya. Kebiasaannya saya akan menasihati isteri saya agar tidak selalu melewatkan solat,banyakkan berselawat, banyak bersabar.

Nasihatilah orang yang anda sayangi dengan apa sahaja nasihat yang anda inginkan. Jangan putuskan zikir anda, supaya zikir itu masuk bersama dengan nasihat anda

5. Anda akan dapat melihat reaksi yang dia sedang menerima pernyataan anda iaitu kelopak matanya bergerak-gerak. Insyallah saya doakan diri saya dan anda berjaya dengan kaedah ini.